Kerana 1 Perkataan Boleh Dicampak Jauh Ke Neraka - Dr. Kamilin Jamilin

 Assalamualaikum & Hi Semua!



Jom muhasabah diri sebentar dengan perkongsian dari Dr. Kamilin Jamilin. Semoga menjadi iktibar dan peringatakan buat kita semua. 


Di antara perkongsiannya ialah: 



1. Selalu kita dengar orang kata "ala, mulut dia memang macam tu, tapi hati dia baik".

Kadang-kadang kita sendiri rasa okey dengan apa yang kita cakap atau tulis, tanpa kita sedari ungkapan kita tu dah menzalimi orang lain atau menyakiti sesiapa. Mungkin juga kita banyak berkata dan menghukum sesuatu yang kita tidak tahu.

Hasilnya? Kita akan dicampak jauh ke neraka kerana satu perkataan kita.


إنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكلَّمُ بالْكَلِمَةِ مِنْ سَخَطِ اللَّهِ تَعالى لا يُلْقِي لهَا بَالًا يهِوي بهَا فِي جَهَنَّم


“Sungguh, boleh jadi seorang hamba itu mengucapkan suatu kalimah yang dimurkai oleh Allah ta'ala tanpa dia peduli (akan implikasi atau baik buruk)nya, dia akan jatuh ke dalam neraka Jahannam kerana perkataannya itu" [hadis riwayat al-Bukhari].


2. Kadang-kadang kita rajin bersolat jemaah, rajin qiyamullayl, rajin berpuasa, rajin bersedekah, rajin mengaji, rajin berzikir, rajin beramal soleh itu dan ini.

Kita cuba jaga amal, tapi kita tak jaga lisan.

Hasilnya? Kita akan muflis di akhirat.


أَتَدْرُونَ مَا الْمُفْلِسُ؟

قَالُوا: الْمُفْلِسُ فِينَا مَنْ لاَ دِرْهَمَ لَهُ وَلاَ مَتَاعَ،

فَقَالَ: إِنَّ الْمُفْلِسَ مِنْ أُمَّتِي يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِصَلاَةٍ وَصِيَامٍ وَزَكَاةٍ، وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ هَذَا وَقَذَفَ هَذَا وَأَكَلَ مَالَ هَذَا وَسَفَكَ دَمَ هَذَا وَضَرَبَ هَذَا، فَيُعْطَى هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ، فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَتْ عَلَيْهِ، ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ


Rasulullah SAW pernah bertanya kepada para Sahabatnya:

"Tahukah kamu siapakah itu orang yang muflis?

Para Sahabat menjawab: Orang yang muflis menurut kami adalah orang yang tiada wang dan tiada harta.

Baginda pun bersabda: Orang yang muflis dari kalangan umatku adalah orang yang datang pada hari Kiamat dengan (pahala) solat, puasa dan zakat, namun dia juga datang dengan (dosa) mencela orang ini, menuduh orang itu, memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang itu dan memukul orang ini. Lalu diberikan kepada orang ini sebahagian daripada pahala kebaikannya dan diberikan kepada orang itu pula sebahagian pahalanya, hinggalah habis pahalanya namun belum lagi terbayar dosa-dosa yang tertanggung atasnya, lalu diambil dosa-dosa mereka tadi dan dilemparkan ke atasnya, kemudian dia akan dihumban ke dalam api neraka” [hadis riwayat Muslim].


3. Ibn al-Qayyim berkata: "Alangkah ajaib melihat orang yang begitu berjaga-jaga dari sumber makanan yang haram atau berbuat zalim atau berzina atau mencuri atau minum arak atau melihat perkara yang haram atau selainnya, namun sangat sukar untuk menjaga dirinya dari kegelinciran lisannya, sehingga boleh dilihat seorang yang soleh agamanya, zuhudnya dan ibadahnya, namun dia sentiasa mengucapkan perkataan yang dimurkai Allah dan tidak peduli dengan apa yang diucapkannya, lalu akibatnya dia akan jatuh ke dalam neraka yang lebih jauh dari jarak antara timur dan barat. Betapa banyak dapat dilihat orang yang warak dari perkara yang keji dan zalim, namun lidahnya sentiasa menikam dan menyembelih orang yang masih hidup atau yang telah mati yang dia langsung tidak peduli".


-Dr. Kamilin Jamilin



Sumber : FB Page Dr. Kamilin Jamilin

1 Comentarios

  1. SEMOGA TIDAK ZALIMI DIRI SEBABKAN MUFLIS DI AKHIRAT KELAK

    ReplyDelete