Selamatkah Penggunaan Pinggan Mangkuk Ayan?

 Assalamualaikum & Hi Semua!



Sejak grup-grup mendeko kembali popular, baru-baru ni Nadhie perasan ramai betul yang minat dengan pinggan mangkuk jenis ayan ni. Atau selain itu ia juga dipanggil sebagai enamelware. Nadhie pun terjebak sama. Hampir je nak terbeli itu hari, dekat kedai eco. Cantik-cantik dan murah pula tu. Tetapi, selepas terbaca perkongsian dari sosial media Public Health Malaysia ini, baru Nadhie tahu rupanya penggunaan pinggan mangkuk ayan tidak selamat untuk digunakan. 

Untuk info selanjutnya, anda boleh baca seperti di bawah...




Selamatkah Penggunaan Pinggan Mangkuk Ayan?




Pinggan viral terkini adalah pinggan mangkuk ayan atau dikenali sbg enamelware. Ya, ia pinggan rekabentuk vintage yang kembali menjadi perhatian masyarakat.

Untuk menghasilkan pinggan mangkuk enamelware, asasnya adalah dari keluli, besi atau aluminium. Bahan tersebut akan disaluti dengan porselin pada tahap suhu tertentu.

Bagi produk berjenama seperti Le Creuset dan produk dari kilang yang diketahui, anda tidak perlu bimbang kerana penghasilan produk ini akan melalui pemeriksaan kualiti yang ketat. Ini penting untuk memastikan ia bebas dari bahan kimia berbahaya terutama logam berat.

Faktor keselamatan mungkin TIDAK terjamin jika produk ayan dari pengeluar yang tidak diketahui. Selain itu, penggunaan pinggan ayan antik juga tidak digalakkan kerana regulasi sebelum ini tidak ketat. Pinggan mangkuk ayan yang telah rosak seperti retak, kemek, bercalar dan berkarat juga perlu dielakkan penggunaannya.

Kebimbangan utama adalah pencemaran logam berat seperti plumbum, kadmium dan uranium. Bahan bahan ini biasanya digunakan untuk memberi warna menarik pada pinggan mangkuk ayan.

Kesan terdedah kepada bahan ini menyebabkan risiko masalah perkembangan otak kepada anak anak. Untuk jangka masa panjang akan akibatkan kerosakan organ lain seperti buah pinggang, hati, tulang dan kanser.

Sekiranya anda ingin menggunakan produk ayan antik, gunakan sebagai hiasan, tempat letak bunga hiasan ataupun pelapik pinggan lain.

Jika anda baru berjinak jinak dengan produk ini, utamakan keselamatan dengan memilih produk yang telah disahkan selamat.

Bagi pengeluar produk seramik yang tidak mempunyai pengesahan kualiti produk, sila melakukan permohonan untuk mendapatkan pengiktirafan dari KKM (Bahagian Keselamatan Makanan) untuk mengesahkan bahawa produk anda bebas pencemaran logam berat.



Kredit: Public Health Malaysia

0 Comentarios