Kentang Bertunas Dan Berwarna Hijau Boleh Dimakan Atau Tidak?

 Assalamualaikum & Hi Semua, 

kredit image: Healthline


Kentang Bertunas selamat untuk dimakan atau tidak? Sudah lama sebenarnya Nadhie dengar pasal ni. Tentang kentang bertunas yang dikatakan tidak selamat untuk dimakan. Pun begitu persoalannya benarkah itu? 


Disebabkan tiadanya penerangan jelas daripada yang ahli nya, maka sukar untuk mengatakan ya atau tidak. Sebagai langkah berjaga-jaga kita akan mengelakkan sahaja apa-apa yang berkaitan dengannya.


Namun, penerangan daripada Dr. Fatimah Salim seorang ahli kimia berkaitan dengan Kentang Bertunas ini sangat jelas dan mudah difahami mengapa Kentang Bertunas sebenarnya tidak selamat untuk di makan. Boleh baca seperti di bawah. 


Jom ikuti perkongsian daripada Dr. Fatimah Salim seperti di bawah.


KENTANG BERTUNAS DAN BERWARNA HIJAU MENGANDUNGI RACUN?




Benar, ubi kentang (Solanum tuberosum) yang bertunas atau berwarna hijau menunjukkan kehadiran bahan kimia semulajadi yang bersifat toksin iaitu alkaloid glikosida seperti solanin (struktur kimia di bawah 👇🏻). Selain daripada ubi kentang, bahan kimia toksin ini juga terdapat pada tomato (Solanum lycopersicum), terung (Solanum melongena), iaitu tumbuhan dari genus Solanum. 

 

Kehadiran bahan kimia toksin ini dapat dilihat dengan adanya warna hijau pada ubi kentang. Warna hijau ini sebenarnya disebabkan oleh kehadiran bahan kimia klorofil, namun meningkatnya klorofil ini menandakan banyaknya bahan kimia solanin terbentuk di situ. 


Selain daripada warna hijau dan tunas sebagai penanda, bahagian kentang ini juga berasa pahit. Dan semakin tinggi terang warna hijau, semakin tinggi juga kandungan toksin yang wujud. Bahan kimia toksin ini sebenarnya dihasilkan pada tunas sebagai salah satu cara (aka mekanisma) pertahanan ubi kentang untuk memastikannya tidak dimakan, serta tumbuh dan membesar dengan jayanya. Sama seperti rebung atau pucuk sayuran lain.


Bahan kimia toksin semulajadi ini tidak akan termusnah dengan haba memasak, namun kandungannya akan berkurangan sekiranya direbus dan air rebusan dibuang. Antara kesan keracunan toksin ini ialah gatal pada mulut, pening, loya, muntah, cirit-birit, sakit perut... yang mana boleh berlarutan kepada radang, sakit sendi serta mampu menyebabkan lumpuh, kecatatan kepada bayi dalam kandungan dan kematian. 


Pun begitu, kesan-kesan ini adalah bergantung kepada jumlah (aka dos) toksin yang wujud dan ketahanan sistem badan individu. Ada yang boleh terkesan dengan jumlah yang hanya sedikit, ada pula yang tidak. Bagi keracunan dengan simptom ringan, badan kita mampu detox sendiri. 


Jadi ubi kentang ini sudah tidak boleh makan? 


BOLEH, dengan membuang bahagian yang ditumbuhi tunas atau bahagian yang berwarna hijau. Ini kerana bahan kimia toksin ini hanya tertumpu pada tunas dan berhampiran kulit kentang yang berwarna hijau sahaja. 


Semoga bermanfaat 🌹

ChM Dr Fatimah Salim

Ahli Kimia


Rujukan: Kuete, V., 2014. Health Effects of Alkaloids from African Medicinal Plants. Toxicological Survey of African Medicinal Plants, p. 611-633.

Post a Comment

0 Comments