Skip to main content

Cerpen: Ini Bukan Mimpi ( Part I )





sumber gambar : atuk google

 
"Bangun!! Kau ingat dunia ni apa? Satu mimpi?! Senang-senang kau tidur untuk melupakan segalanya?!!” Tempik Nicky, kawan perempuanku yang berperwatakan tomboy, sambil menarik kedua belah tanganku dengan kasar, membuatkan aku terduduk dari pembaringan dengan rambut yang meremang. Aku hanya tunduk memandang ke bawah.  Dan Nicky pula masih tidak habis-habis membebel sambil menampar-nampar tubuhku macam budak-budak kecil.

Iya, semua ini berlaku adalah disebabkan aku. Semua orang marah pada aku disebabkan apa yang telah aku buat sebelum ini. Kalaulah aku tidak membatalkan perkahwinan sendiri pada hari itu, pasti semua ini tidak akan berlaku. Pasti aku tidak perlu menumpang dirumah sewa Nicky dan menyembunyikan diri daripada keluargaku. Dan sekarang semua orang pandang serong pada aku, pada keluargaku. Masih terbayang lagi riak kekecewaan yang terpamer di wajah kedua ibu bapaku saat itu. . Betapa mereka menanggung malu yang besar disebabkan seorang anak seperti aku. Maafkan Wahida mak, ayah! Wahida anak yang gagal! Dan bagai terbayang riak kekecewaan di wajah lelaki itu saat dia berlalu pergi dengan hampa.

“Sakitlah Nicky! Kau ingat aku suka ke dengan apa yang berlaku?” Pantas aku menahan tangan Nicky yang masih galak menampar-nampar badanku.

“Memang kau suka kan! Kalau kau tak suka tak adalah kau buat macam ni kan?! Dah elok-elok ada lelaki yang serius nakkan kau, senang-senang je kau buang dia macam sampah kan! Kalau aku tahu, dah lama aku rembat Ahmad Zulfakar tu dari kau! Perempuan tak sedar diri! Tak reti bersyukur! “luah Nicky geram sambil bingkas dari katil sebelum berlalu keluar dari bilik, lalu menghempas pintu sekuat mungkin.

Aku hanya tertunduk bisu. Memang betul pun apa yang di perkatakan Nicky. Memang aku perempuan yang tidak sedar diri. Memang aku tidak reti bersyukur. Sungguh, akulah punca semua ini berlaku. Dan tidak pasal-pasal hubungan kekeluargaan di antara keluargaku dan keluarga Ahmad Zulfakar menjadi keruh. Bagai terbayang wajah kecewa papa dan mama Zulfakar diruang mataku. Ah, Wahida kau memang tak guna!

Ramai yang tertanya-tanya kenapa aku membatalkan perkahwinan sendiri dan ramai yang kata aku memang gila sebab tidak terima lelaki yang punya segalanya macam Zulfakar tu. Tapi, ya sebab aku ada alasan tersendiri. Semuanya adalah kerana.....

*  *  *  *  *


Nur Wahida..” pantas aku menoleh. Hampa rasanya bila orang yang aku harapkan tiada di situ. Lantas, aku memandang lelaki bermata sepet dan berwajah kacukan cina itu. ‘Huh! Tak hensem betul!’ Sempat pula hatiku mengomen.

“Iya...,” lambat aku jawab, acuh tak acuh.

“Awak tunggu saya ke?”

“Eh taklah. Buat apa saya nak tunggu awak?”

“Mana tahu awak tengah tunggu bakal suami awak  ni kan?” usik Zulfakar lagi, namun ku balas dengan senyuman hambar.

“Kenapa awak nak kahwin dengan saya ya?” soalku, agak pelik.

“Sebab saya tahu awaklah jodoh saya,” jawab dia sambil tersenyum nakal, membuatkan aku sedikit mencebik mendengarnya. Eleh, ada hati nak bergurau manja dengan aku. Eiii.. menyampahnyaaa.. Eh, bakal laki kau tu kan!

‘Eh, habistu kenapa aku pulak nak kahwin dengan dia?’ Dan hatiku pula tertanya sendiri.

“Kak Wida?!” seseorang menyentuh bahuku dari belakang dan lantas membuatkan aku tersedar dari lamunan. Hatiku berdebar-debar secara tiba-tiba. Suara itu, cukup ku kenali. Pantas aku menoleh ke belakang.
“Irine!”
*****

“Sebab kak percaya yang cinta sejati wujud kat dunia ni. Sebab kak dah sukakan orang lain. Akak takut, andai perkahwinan ni akak teruskan, akak akan menyesal suatu hari nanti. Sedangkan akak sedikit pun tak ada niat untuk melukai hati abang Irine...,”  Ujarku kepada Irine, satu-satunya adik perempuan Zulfakar. Sama seperti abangnya. Kedua-dua mereka memiliki wajah yang mirip kecinaan. Mungkin mewarisi bapanya yang berketurunan cina mualaf.

Dan aku tidak pasti kenapa Irine tetap tenang. Masih mahu mendengar penjelasan aku meskipun aku telah menjatuhkan air muka mereka sekeluarga. Aku masih tidak percaya kenapa Irine tidak menyerang aku mahupun menarik-narik tudung aku ketika kami bertembung secara tidak sengaja sebentar tadi. Kenapa dia begitu tenang, sedangkan aku sudah melukai hati satu-satunya abang kesayangannya dan menjatuhkan maruah mereka sekeluarga.

          “Irine, akak betul-betul mintak maaf. Akak masih sayangkan Irine macam adik akak sendiri,”

          “Kalau akak sayang mesti akak tak akan buat macam ni kan?”

          “Apa?” Aku terpinga-pinga seketika kerana tidak berapa jelas dengan kata-kata Irine sebentar tadi.

        “Tak adalah kak. Irine betul-betul tak faham. Kenapa mesti waktu hari akad nikah, tetamu semua dah sampai baru akak batalkan? Kenapa tak sebelum tu? Sekurang-kurangnya seminggu sebelum, sehari sebelum ke? Kenapa mesti hari akad nikah tu baru akak nak batalkan? Irine just....urgghhh..,”  Ucap Irine panjang lebar, jelas terpamer riak kekesalan di wajahnya.

          “Entahlah Irine... sebelum tu.. sebelum tu akak takut.. akak takut nak meluahkan apa yang terbuku. Bila akak tengok semua orang dah bersusah-payah buat persiapan, akak takut nak cakap yang akak memang tak nak kahwin... Tapi, masa hari pernikahan tu, akak tak tahu dari mana akak dapat kekuatan untuk batalkan semuanya. Entah syaitan apa yang menghasut. Sekarang, akak rasa betul-betul menyesal sebab dah jatuhkan maruah family dan susahkan semua orang. Dah dua bulan akak tak jumpa mereka Irine. Akak takut dan akak malu...,” Panjang-lebar aku meluahkan perasaanku pada Irine. Aku tahu dia marah sebenarnya dan kesal dengan apa yang berlaku.

“So, akak dah jumpalah dengan cinta sejati akak tu? Bila nak kahwin?” soal Irine, kedengaran sinis. Namun, aku hanya tersenyum hambar. Perlahan-lahan aku menggeleng.

          “Tak Irine. Akak silap. Selama ni akak sangkakan senior akak tu sukakan akak. Akak ingat kami suka sama suka. Semuanya sebab cara dia berkata-kata dan cara dia layan akak. Dia selalu cakap dia rindukan akak, sukakan akak. Rupa-rupanya suka sebagai kawan je. Bila akak luahkan perasaan pada dia, tiba-tiba dia cakap sebenarnya dia dah ada orang lain dan selama ni hanya anggap akak sebagai seorang kawan je. Itu aje. Jujur akak kecewa... Sedangkan akak betul-betul ingat dia cintakan akak. Apatah lagi muka dia macam kecewa je bila akak bagi kad jemputan kahwin. Bila dia macam bergurau dan cakap dia dah melepas sebab biarkan akak jatuh di tangan orang lain, semua tu buatkan akak jadi keliru. Sebabnya kak pun sukakan dia sangat-sangat. Tapi, rupanya.... Itu semuanya adalah ayat manis belaka. Akak yang salah tafsir.” Terangku jujur kepada Irine. Ku lihat wajah Irine berubah, merah padam. Seolah-olah cuba menahan marah.

          “So, akak batalkan perkahwinan just for nothing lah?!” sedikit melenting nada suara Irine pada ketika itu. Lantas, segelas air kosong dihadapannya diteguk sampai habis. Fuhhh.. ingatkan nak simbah dekat aku tadi.

          “... Irine maafkan akak sayang.. Akak betul-betul mintak maaf. Kalau Irine nak pukul akak, nak hukum akak , hukumlah Irine! Akak betul-betul tak ada niat nak lukakan hati kamu semua. Akak terkhilaf. Akak tak tahu semua akan jadi macam ni.. ” Sambungku lagi bila kulihat Irine hanya terdiam seribu bahasa.

          “Entahlah kak. Kalau Irine pukul akak, hukum akak.. apa yang Irine dapat? Pasti abang akan lebih terluka dengan tindakan kami... sebab dia dah mula sayangkan akak sejak akak jadi tunang dia lagi. Benda dah jadi kan? Akak, actually abang tu okay orangnya kak. Kalau awal-awal akak bincang dengan dia baik-baik tak nak teruskan, mesti dia boleh terima. Tapi, bila dah jadi macam ni.... Hurm, nak kesalkan pun, benda dah jadi kan? Akak pun dah besar kan , dah boleh fikir apa yang patut. Apapun Irine rasa, kalau akak nak mintak maaf. Akak mintak maaflah pada abang. Sebab dia yang paling terluka sekarang ni kak dan Irine pun dah lama maafkan akak,” luah Irine , mendalam sekali kata-katanya sebelum dia meminta diri untuk berlalu dari situ. Namun, cepat-cepat ku tahan.

          “Irine, boleh akak tahu... Abang Irine kat mana sekarang?”  

         “ Dah dua bulan dia pergi UK tak balik-balik kak. Irine pun tak tahu sampai bila dia nak bawak diri. Okaylah kak, Irine dah lewat ni. Jumpa lagi. Byee..,” Dan kata-katanya itu mengakhiri perbualan kami pada petang itu.

          Buat seketika aku terpaku disitu. Memikirkan betapa bodohnya apa yang telah aku buat sebelum ini. Disebabkan cinta yang tak pasti, aku korbankan segalanya. Aku susahkan semua orang. Dan aku lukai hati seorang lelaki yang betul-betul serius mahukan aku. Betapa pendeknya akalku ketika aku membuat keputusan terburu-buru tika itu. Bodohnya aku mempertahankan cinta yang tidak pasti, sedangkan permata sudah terbentang luas di hadapan mataku. Tergamaknya aku membuatkan permata itu berkecai seperti kaca. Disebabkan satu keputusan bodoh, akhirnya bahananya entah sampai ke bila akan ku tanggung. Saat ini, barulah aku sedar yang hidup ini bukan mimpi, bukan angan-angan dan bukan jua fairytale yang sewenangnya untuk kita gadaikan.

*****

Setahun kemudian...
Aku memandang sepi peti inbox aplikasi Whatssapp Messenger. Dah lama aku cuba menghubungi Zulfakar, tetapi gagal.  Lantas aku membuka profile whatssap dia dan melihat ‘last seen’ dia. Hurm.. setahun yang lalu. Mungkin jua dia sudah menukar nombor telefon bimbitnya. Entahlah. Aku pun tidak tahu. Tetapi, untuk apa aku mencari dia semula? Untuk menagih kasih dia balik? Sebab tak ada orang nak aku? Ek eh, memandai-mandai je. Taklah. Tapi, sebab aku nak mintak maaf dekat dia. Pertama, sebab bagi harapan palsu dekat dia. Kedua, sebab batalkan perkahwinan kami. Dan ketiga sebab buat dia macam sampah, bak kata Nicky. Keempat sebab lukakan hati dia. Sudah lah dia tu baik dan tak ada dosa pun dekat aku. ‘Okay, baru sekarang kau sedar kan dia tu baik. Waktu nak menikah dulu, sedikit pun kau tak nak ambik tahu hal dia kan? Lepastu pepandai batalkan pernikahan pulak!’

Selepas setahun berlalu, kes aku membatalkan pernikahan sudah tidak hangat lagi diperkatakan oleh penduduk taman mahupun kampung. Namun, pandangan serong mereka tetap tidak berubah terhadap aku. Bila nampak aku je.. ha mulalah. ‘Tulah budak perempuan yang buat malu keluarga dia tu... Sok sek sok sek.. bla bla bla.’ Hurm.. sabar jelah. Eh nak sabar apanya?! Macamlah aku mangsa kan! Memang padan dengan muka aku pun! Memang aku layak dan patut terima balasan ni.
Tentang cinta sejati aku pula? Semuanya bertebaran macam angin sepoi-sepoi bahasa. Menjadi mimpi yang hanya tinggal mimpi. Tahu-tahu, Akif lelaki yang aku suka sejak dari kolej lagi, kini sudah pun berumah tangga. Siap bagi kad jemputan lagi dekat aku. Siapa yang tidak kecewa? Memang aku kecewa sangat-sangat dan terlalu malu. Malu kerana selama ni aku yang terhegeh-hegeh pada yang tak sudi. Mungkin perasaan ini jualah yang dirasai Zulfakar suatu ketika dulu.

Hanya kerana ayat-ayat manis yang mungkin diucapkan Akif pada semua perempuan, lantas aku terbuai dan mengambil serius kata-katanya sehingga sanggup mengadaikan perkahwinanku sendiri demi sesuatu yang tidak pasti. Bodohnya aku. Iya, begitulah perempuan. Begitu mudah menyimpan harapan, begitu mudah terpedaya dan begitu mudah dibuai perasaan hanya disebabkan ayat-ayat manis yang diucapkan oleh seorang lelaki. Arghhh..!! Benci!! Sungguh aku bencikan Akif!! Kerana dia hidup aku jadi begini. Sedangkan dia kini sedang meniti hari-hari bahagia.  Lelaki. Memang lumrah dan mudah mempermainkan perasaan wanita. Membuat wanita terbuai dengan kata-kata manis mereka meskipun sedikit pun tidak punyai perasaan terhadap wanita itu. Sungguh, andai boleh diulang semula waktu, aku pasti akan membenarkan sahaja pernikahan itu berjalan lancar. Pasti kini, aku sudah pun bergelar isteri kepada seorang lelaki yang benar-benar inginkan aku.

Namun, walau apapun, aku sangat-sangat bersyukur sebab keluarga aku sudi juga terima dan maafkan aku walaupun mak aku sampai sekarang dingin terhadap aku. Tapi, nampaknya keluarga aku sudah serik dan mungkin tidak akan mencarikan jodoh untuk aku lagi. Sudah tidak sibuk bertanya seperti dulu. Manakala mama Zulfakar pula masih tidak mahu berjumpa dan memaafkan aku kerana memalukan mereka sekeluarga. Apatah lagi semenjak peristiwa itu, Zulfakar sudah hampir setahun membawa diri. Aku mendapat tahu daripada Irine hanya sesekali sahaja dia akan berhubung dan bertanya khabar tentang keluarganya. Mujurlah hubungan kekeluargaan diantara keluargaku dengan keluarga mereka masih dalam keadaan baik kerana keluarga mereka tidak menyalahkan keluarga aku di atas apa yang berlaku. Terubat sedikit kegusaran di hati aku.

Sedang aku menatap profile whatssap Zulfakar, perlahan-lahan, mataku mula terasa berat sambil menaip-naip kata-kata maaf meskipun ku tahu dia tidak akan membacanya.

“Maafkan aku, Zulfakar....,” Dan sekali lagi kata-kata itu kubisik sendirian. Air hangat terasa membasahi pipi. Di mana Zulfakar? Terlalu pedihkah luka di hatinya sehingga setahun sudah membawa diri? Atau mungkinkah dia sudah berumah tangga dan membina hidup baru di UK?

Andai diberi peluang kedua.... aku mahu menebus segalanya. Tidak akan kubenarkan semua itu berlaku. Namun, tidak semua perkara punyai peluang kedua. Pesan aku, hargailah setiap peluang yang ada. Gunakanlah sebaik mungkin. Kerana tidak semua perkara ada peluang kedua. Usah hidup seperti aku. Bersama penyesalan yang tak berkesudah. Perit dan pedih akan sesekali datang dan merobek-robek hati...


*****





Bersambung... (Part II)

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Tanda-tanda Seseorang Mungkin Meminati Anda Di dalam Diam

Cara Mudah Tukar Duit Syiling Di Lokasi Mesin Deposit Syiling Bank Seluruh Malaysia

Tutorial Lengkap Cara Renew Roadtax Kereta Anda