Skip to main content

Novelet: Дүниежүзілік соғыс V : Prolog V

Novelet: Дүниежүзілік соғыс V : Prolog V


“Feels like we’re on the edge right now

I wish that I could say I’m proud

I’m sorry that I let you down.”


Baca Kesemua Episod:

Novelet: Дүниежүзілік соғыс V : Prolog I

Novelet: Дүниежүзілік соғыс V : Prolog II

Novelet: Дүниежүзілік соғыс V : Prolog III

Novelet: Дүниежүзілік соғыс V : Prolog IV

Novelet: Дүниежүзілік соғыс V : Prolog V




Sambungan dari episod IV


PROLOG V

Angin pagi itu terasa menampar lembut ke muka. Sehelai dua dedaunan gugur, hinggap ke pelitup kepala yang menutupi kepalanya dan jatuh ke mukanya. Lantas dia mencapai dedaunan itu dan secara tak sengaja menyentuh wajahnya serta segaris parut yang melintang di bawah mata kirinya. Parut yang sentiasa ditutup dengan rambut depannya yang sedikit panjang. Dan entah mengapa kenangan itu seolah-olah menusuk-nusuk ke fikirannya dan sejurus itu ke dadanya. Seakan menikam-nikam. Terasa pedih dan sakit.


     "Kenapalah kau ni bawak s*al sangat dalam hidup aku? Tak boleh ke kau mampus aje!" Kata-kata kemarahan itu dihamburkan oleh seorang insan yang digelar ibu. Insan yang paling dipercayai dan disayanginya. Yang masih didambakan untuk menjadi tempat bermanja ketika itu.


    "Anak kau ni lembik lah macam kau! Muka pun macam pondan je. Meh sini aku nak ajar dia sikit!" Ujar lelaki kasar yang merupakan bapa tirinya itu kepada ibunya, lantas mengheret Baihaqi keluar dari rumah usang itu. 


    "Taknak ayah sakit! Aqi sakit!" Baihaqi yang hanya berusia 8 tahun pada ketika itu, menangis kesakitan sambil memohon belas kasihan dari bapa tirinya. 


    "Apa sakit sakit?! Meh sini aku nak ajar kau jadi jantan sikit. Jangan tahu lemah macam pondan je sama macam bapak kau tu!" Jerkah bapa tirinya tanpa sedikit pun berasa simpati. Dia cuba memanggil-manggil ibunya, namun tidak dipedulikan. Ibunya hanya memandang kosong ke arah mereka tanpa sedikit pun mempedulikannya mahupun mempertahankannya. 


    'Ibu... kenapa buat Aqi macam ni?' Hati Baihaqi menangis , merintih pilu. Jika dahulu dia begitu disayangi dan dikagumi oleh semua orang. Wajahnya yang persis kacukan Jepun-Enggeris itu membuatkan ramai yang memujinya comel dan tampan sejak dari kecil lagi, namun segalanya berubah sejak bapanya menghilang dan ibunya memilih untuk berkahwin dengan bapa tirinya. Kehidupan mereka tiba-tiba berubah dan menjadi begitu susah sekali. Dirinya sering sahaja diperlakukan seperti sampah, tidak dihiraukan dan menjadi bahan hinaan.


    "Menangis menangis! Itu je kerja kau kan! Nah rasakan!" Pekik lelaki itu sambil mencampakkan tubuh kanak-kanak kecil itu ke dalam sungai di hadapannya. Saat itu kanak-kanak kecil yang tidak tahu berenang itu hanya mampu meronta-ronta tidak cukup nafas. Meronta-ronta dan memohon simpati agar dirinya akan diselamatkan. Nafasnya terasa mencungap-cungap, semput. Terasa air sungai masuk menderu-deru ke dalam setiap rongga pernafasannya. Dia sesak nafas, tercungap-cungap. Namun masih tidak dipedulikan.  Sempat dia melihat yang lelaki tua kasar itu sedang tersenyum puas melihat dirinya dalam keadaan begitu. Keadaan separuh hidup dan mati. Hampir lemas.


    "Baihaqi," Teguran lembut suara Wak Asan dari belakang lantas mengejutkan dia dari lamunannya. Sejurus itu, Baihaqi terbatuk-batuk dan seakan-akan tersedak. Dia cuba mencari nafas. Cepat-cepat Wak Asan menepuk-nepuk di belakang badannya. Ternyata trauma yang pernah dilaluinya belasan tahun yang lalu masih memberi kesan kepada dirinya, kepada mental dan fizikalnya. Trauma yang sangat menyakitkan. Yang membuatkan dendamnya semakin membara. 


    "Kau tak apa-apa ke nak?" tegur Wak Asan setelah dilihatnya reaksi Baihaqi seakan redha. 


    "Saya okay Wak," jawab Baihaqi tidak mahu membimbangkan orang tua itu. 


    "Oh ya, Akiff mana?"



*****  



How can you see into my eyes like open doors?

Leading you down, into my core




Disebalik bunyi-bunyi ungas yang berkeliaran, Akiff tiba-tiba bagai terdengar sesuatu. Satu bunyi yang begitu asing. Fokusnya terganggu.


Bunyi yang seakan bunyi tangisan. Tangisan? Betulkah apa yang aku dengari ini? Di hutan ini? Tetapi dari siapa? Soalnya sendiri. Mustahil adanya orang lain selain mereka bertiga di situ. Bak kata Wak Asan tempat itu begitu asing sekali dengan manusia. Atau mungkinkah memang adanya orang lain selain mereka tanpa disedari? Atau ada seseorang yang memerlukan bantuan mereka? Perasaan bertanggungjawab menguasai dirinya. Mustahil dia akan membiarkan seseorang yang perlukan bantuan terkontang-kanting tanpa bantuan. 


Tangisan itu kedengaran semakin kuat. Kuat dan jelas. Seperti tangisan seorang wanita. Ya, tangisan seorang wanita. Perlahan-lahan Akiff mula mengatur langkah. Mencari-cari dari mana datangnya arah suara itu. Suara tangisan yang kedengaran mendayu-dayu dan pilu sekali. Siapa wanita itu? Dimanakah dia? Perasaan ingin tahunya mengatasi segalanya. Dia memandang ke sekeliling kawasan sungai itu, sehingga ke air terjun yang mengalir. Dia cuba mencari-cari suara itu disebalik deruan air terjun yang deras, namun tidak ditemui. Dia memandang pula ke arah beberapa batang pokok besar dibelakangnya, tetapi masih tidak dapat mengenal pasti dari mana datangnya arah bunyi itu.


Memandangkan hari semakin siang,  dia yakin suara itu bukanlah suara mahkluk lain yang cuba menyamar menjadi manusia mahupun memperdayakannya. Akiff buntu. Suara misteri itu masih kedengaran, namun semakin perlahan dan tidak lagi mendayu-dayu seperti tadi.Dan masih belum ditemui dari mana arahnya. Dia buntu buat seketika. Melihat sekeliling. Kawasan hutan berserta air terjun itu seolah-olah mengelilinginya kini. Akiff terduduk seketika. Lelah. Mungkin kerana tenaga dalamannya masih belum pulih sepenuhnya lagi.


Namun, saat dia terduduk mengambil nafas di situ, sekali lagi suara itu kedengaran. Kecil namun jelas. Seakan begitu dekat sekali dengannya. Akiff mengangkat muka. Saat itu dia bagai melihat beberapa pergerakan kecil dari sebatang pokok rendang yang dikelilingi semak tidak jauh dari dirinya. Dan dia cuba mengamati suara itu. Ya, suara seorang wanita. Yang kedengaran seperti sayu dan tersedu-sedan.  Mungkin kerana sudah puas menangis sebentar tadi? Tetapi, kenapa semakin didengari semakin dirasakan suara itu seakan familiar? Perlahan-lahan dia mula mengamati dan seakan cuba mendekati, kawasan pokok rendang dan semak-samun itu. 


Semakin dia mendekat dan menghampiri, seakan ada cahaya yang berwarna kebiruan yang menyinar di sebalik semak samun itu. Akiff mula menghampiri. Semakin menghampiri. Ingin diketahui siapakah gadis malang yang tersesat dikawasan itu? Dan cahaya apakah itu? Dan apa sebenarnya yang mengganggu gadis malang itu? Kakinya melangkah lagi. Semakin dekat. Hanya tinggal beberapa langkah sahaja sehinggalah kini hanya tinggal dua langkah sahaja. 


   "Akiff!" Bahunya disentuh, suara Baihaqi menyentak lamunannya. 


Akiff pandang kebelakang. Dia nampak Baihaqi dan Wak Asan betul-betul berada dibelakangnya. 


    "Tadi kat sini ada....," belum pun sempat berkata apa-apa, tiba-tiba kedengaran teriakan seekor kuda. Saat itu seekor kuda berwarna putih dan bercahaya kebiruaan melintas dihadapan mereka dan sejurus itu terus melarikan diri ke dalam hutan. 


Akiff tergamam seketika. Kuda kah itu? Kuda apa tu? Apa yang baru sahaja dilihatnya seolah-olah bagai terlalu sukar untuk dipercayai. Wak Asan dan Baihaqi juga melihatnya, namun reaksi di wajah mereka kelihatan biasa-biasa sahaja. 

    

    "Ada apa?" tanya Baihaqi merujuk kepada ayat Akiff yang tergantung sebentar tadi.


    "Aku dengar suara seorang perempuan menangis. Kat sini tadi , ha kat sinilah," Kata Akiff lantas dia menghampiri semak samun itu, menyelongkarnya dan menguak-nguaknya dari menutup pandangan mata. Pun begitu, tiada apa yang kelihatan di situ. Akiff kehairanan. Semuanya seakan tidak masuk akal. Apakah dia mengalami delusi kesan dari trauma yang pernah dilaluinya sebelum ini? Argh, aku tidak gila! Hatinya pantas menidakkan. 


    "Mustahil ada orang lain selain kita. Mungkin sahaja khayalan kau aje. Kan aku dah cakap kalau ada apa-apa yang pelik jangan tegur! Kau dah lupa ke kau pernah kena pukau? Kau akan menyusahkan kita semua nanti," ujar Baihaqi seolah-olah memberi amaran dan terus berlalu dari situ. Wak Asan sekadar menggeleng-geleng sahaja mendengarkan tingkah Baihaqi yang kedengaran keras itu. 


    "Akiff, Wak harap kamu tidak berkecil hati ya. Dia memang begitu, tetapi dia sangat mengambil berat akan orang-orang disekelilingnya," kata Wak Asan seakan cuba mengambil hati Akiff.


    "Jangan risau Wak. Hal kecil sahaja, " Ucap Akiff tenang. Dan mereka bersama-sama kembali ke pondok tempat mereka berteduh. 


*****


Hari sudah semakin gelap. Mereka masih lagi di pondok itu. Usai menikmati rusa panggang untuk membekalkan tenaga bagi menghadapi hari-hari mendatang, mereka menghidupkan unggun api dan masuk semula ke pondok untuk berlindung. 


Suara tangisan seorang wanita , bayangan kuda putih kebiruan yang tiba-tiba melintas di hadapannya, masih tidak padam dari fikiran Akiff. Beberapa kali fikirannya memutar kembali babak pada pagi itu. Suara tangisan, bayangan seekor kuda. Apakah maksud disebalik semua itu? Akiff tertanya sendiri. Dari mana datangnya suara itu? Dan kuda itu? Apakah kaitan kedua-duanya? Pelbagai persoalan kembali bermain difikirannya. Mengapa suara tangisan seorang wanita itu bagai pernah ku dengari? 


Dan kuda itu. Dari mana datangnya ia? Akiff cuba mengimbas kembali rupa kuda itu. Kuda yang tiba-tiba muncul, melarikan diri dan ya....Baru sahaja dia teringat. Kuda itu sempat melirikan pandangan matanya terhadap Akiff. Di situ, bagai ada kesedihan yang terbit di relung matanya. Ah, apakah ini semua hanya khayalan? Delusi? Atau mimpi? Apakah aku masih bermimipi lagi? Akiff buntu, keliru. Persoalan yang membelenggu fikirannya ini diharapnya akan berjaya diselesaikan suatu hari nanti. Fikirnya sendiri.


"Akiff, Baihaqi.... Wak ada sesuatu yang mahu dibincangkan bersama kamu berdua," ujar Wak Asan lantas memecah kesunyian malam. Akiff dan Baihaqi berpandangan sesama sendiri. 


"Perjuangan kita masih belum selesai. Peperangan masih berjalan seperti biasa di luar sana. Kita tidak boleh tidur dan leka saat berselindung di sini. Di luar sana banyak nyawa yang sudah terkorban. Lambat laun mereka akan berjaya menjejaki kita samada menggunakan teknologi atau sihir atau kedua-duanya sekali. Sejurus itu mereka mungkin akan membuka hijab tempat kita berselindung ini. Apatah lagi mereka kini berkeupayaan untuk teleport dari suatu tempat ke suatu tempat." sambung Wak Asan lantas meluahkan kerisauan di hatinya.


"Oleh itu bagaimana Wak?" tanya Akiff ingin tahu. Dia kemudian tertunduk kesal sambil menghela nafas berat. Dia sebenarnya berasa kecewa dengan dirinya kerana masih belum berupaya untuk berbuat apa-apa mahupun mengingati sesuatu.


"Wak.... Aku bimbang aku tidak akan dapat membantu. Kerana tiada apa yang mampu ku ingati melainkan kekasih hatiku, iaitu anak dan isteriku. Kudratku juga masih lemah. Tetapi, aku ingin sekali bertemu dengan anak dan isteriku. Aku berharap agar masih ada sinar buat kami, buat kita semua, " luah Akiff kesal lantas menyuarakan suara hatinya sambil sesekali menggeleng-gelengkan kepalanya.


Baihaqi hanya mendengar sahaja tanpa sepatah kata. Tiada apa pun yang perlu diperkatakannya saat itu. 


"Akiff , percayalah pada diri kamu nak. Yakin bahawa kamu boleh. Kita akan sama-sama mengatasi semua halangan ini sehingga ke akhirnya. Tetapi paling utama , kamu harus bersemangat dan yakin pada diri kamu. InsyaAllah kita boleh menamatkan semua ini." Kata Wak Asan , cuba memberi kata-kata semangat.


"Apa caranya Wak? Baihaqi?" Akiff bertanya, ingin tahu dan penuh mengharap.


"Mula-mula... Kami akan cuba bantu kau untuk dapatkan semua ingatan kau semula.... " Baihaqi tiba-tiba bersuara. Dia lantas memunculkan diri dan menunjukkan 'sesuatu' yang berada di tangannya. 




- PROLOG TAMAT-



Dari sini bermulalah sebuah cerita....



Comments

Popular posts from this blog

Tanda-tanda Seseorang Mungkin Meminati Anda Di dalam Diam

Cara Mudah Tukar Duit Syiling Di Lokasi Mesin Deposit Syiling Bank Seluruh Malaysia

Tutorial Lengkap Cara Renew Roadtax Kereta Anda