Skip to main content

Novelet: Дүниежүзілік соғыс V : Prolog IV

Novelet Дүниежүзілік соғыс V Prolog IV


Wake me up inside

Call my name and save me from the dark



Info: Penggunaan istilah Epilog terpaksa ditukar kepada Prolog berikutan beberapa jalan cerita yang berubah dan mengikut kesesuaiannya. Nak tahu apa beza Epilog dan Prolog? Sis ada tulis sebelum ni,  korang tekan je dekat SINI ya. Thanks! 


Baca Kesemua Episod:

Novelet: Дүниежүзілік соғыс V : Prolog I

Novelet: Дүниежүзілік соғыс V : Prolog II

Novelet: Дүниежүзілік соғыс V : Prolog III

Novelet: Дүниежүзілік соғыс V : Prolog IV

Novelet: Дүниежүзілік соғыс V : Prolog V




Sambungan dari Prolog III




PROLOG IV



"Akiff, mereka itulah pakatan dari Barat. Pakatan berkuasa besar yang menggabungkan antara teknologi dan sihir...." kata-kata Wak Asan semalam masih terngiang-ngiang di telinganya.  


"Teknologi dan sihir? Bagaimana mungkin itu boleh berlaku?' Akiff mengumam sendirian. Benda itu adalah sesuatu yang tidak logik dek akal fikirannya. Hari semakin subuh, fajar sudah mula menyinsing. Di sini mereka mengukur waktu solat dengan kaedah manual. Akiff langsung tidak tidur sejak semalam. Setelah mendapatkan kesedaran dirinya, dia jua risau andai dia tidak akan bangun-bangun lagi apabila tertidur semula.


Dia masih berada di atas pangkin sebuah pondok yang telah dibina oleh Wak Asan bersama Baihaqi. Pondok itulah yang dijadikan tempat untuk mereka berteduh selama beberapa hari ini, selepas mereka melarikan diri dari situ, dari pihak musuh yang terus mengejar. Dia sendiri tidak pasti tempat itu tempat apa. Yang pasti Wak Asan telah memberitahu yang mereka paling selamat di situ.  Tetapi ke mana pula perginya kereta kuda dan kuda-kuda Wak Asan yang membawa mereka ke sini? Tidak pula kelihatan. Dan dia sendiri tidak pernah melihat kuda-kuda yang dimaksudkan. 


Akiff teringat lagi akan perbualan mereka semalam. Menurut Wak Asan selepas Akiff berjaya diselamatkan dua tahun yang lepas, mereka telah berjaya bersembunyi dari Pakatan Barat dan beberapa pakatan yang lain di sebuah perkampungan bawah tanah di dalam kawasan hutan Borneo. Dan perkampungan itu merupakan perkampungan rahsia yang telah berjaya dibina oleh penduduk kampung yang terselamat ketika berlangsungnya Perang dunia ke-5.



Di situlah mereka telah merawat Akiff dengan segala kemudahan dan teknologi perubatan yang sangat terbatas serta adakalanya menggunakan cara tradisi untuk mendapatkan kesedaran Akiff semula. Ya, mereka berhempas pulas melakukannya. Saat bekalan makanan kekurangan, kemudahan terbatas, namun ramai yang rela berkorban untuknya dan mengharap agar kesedarannya suatu hari nanti dapat membela nasib anak-anak dan cucu cicit mereka. Mereka sudah tidak lagi memikirkan diri mereka. Akiff terasa kesal dan terhutang budi. Tetapi, dia merasa kecewa dengan dirinya kerana masih tidak mampu mengingati apa-apa mahupun berbuat apa-apa.  Jika keadaannya berterusan begitu, bagaimana dia boleh membantu mereka?


Namun, bak kata pepatah 'disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari.' Kewujudan perkampungan itu tanpa disedari rupanya telah berjaya dikesan disebabkan gelombang peralatan teknologi yang telah digunakan. Tetapi, siapakah yang mencetuskan gelombang itu? Adakah adanya pemberontak dikalangan mereka? Tiada siapa yang tahu.  Sedar-sedar beberapa kapal perang dari Pakatan Barat sudah mula berlegar di ruang udara dan cuba membuat rundingan damai sebelum memusnahkan perkampungan itu. 


Saat satu per satu bom dijatuhkan, peluru ditaburkan dan anak panah bergelimpangan, bergema sorakan dari orang-orang melayu yang tinggal di situ bersama serangan balas dari arah bawah. 


"Takkan melayu hilang di dunia! Takkan melayu hilang di dunia!Takkan melayu hilang di dunia!" Kata-kata yang dipetik dari Hang Tuah itu dilaungkan sekuat hati saat mereka mula menyerang balas. Kata-kata itu jualah yang menjadi prinsip dan semangat mereka hingga ke saat akhir. Mereka jugalah membuka jalan bagi Wak Asan meneruskan perjalanan dengan selamat bersama Akiff dan Baihaqi. Akiff berasa sayu, sebak mengenangkan ada yang sanggup terkorban demi menyelamatkan nyawanya dengan harapan Akiff akan membela nasib anak bangsa mereka suatu hari nanti. Berat. Dia terasa seolah-olah dia sedang memikul satu bebanan yang sangat berat saat ini. 


Akhirnya tibalah mereka di sini. Ya di sini. Di sebuah perhutanan misteri yang Akiff sendiri tidak tahu di mana dan apa. Nampak seperti hutan biasa, tetapi Akiff tahu ianya bukan. Ianya lain. Sesuatu yang lain. Bagai ada aura misteri di sini. Apatah lagi dia pernah diserang oleh seekor rubah jadian yang menginginkan jantung dan darahnya. Kata Wak Asan pondok tempat mereka berteduh itu kini selamat kerana beliau telah membuat pendinding dikelilingnya. Namun, entah mengapa sesekali Akiff berasa seriau. Seolah-olah bagai ada mata-mata yang sentiasa memerhatikannya. Perasaan apakah ini? Apakah benar ini alam ghaib? Mustahil! Eh, sekejap. Kemanakah Wak Asan pergi? Pagi-pagi lagi orang tua itu sudah menghilangkan diri. 


"Lama mengelamun? Kau fikir apa?" Tegur suara parau itu lantas melenyapkan lamunannya. Akiff pandang ke sebelah. Nampak Baihaqi duduk tidak jauh darinya.  Wajahnya selamba, tidak langsung memandang ke arah Akiff. Gayanya kelihatan tidak begitu mesra. Namun, Akiff sedar dia sangat terhutang budi kepada lelaki itu kerana telah menyelamatkan nyawanya. Peristiwa di dalam kereta kuda sebelum ini bermain-main di ruangan matanya. Dan dia sendiri tidak pasti bagaimana akan dibalasnya jasa Baihaqi terhadapnya. Dia rasa terhutang. 




Tetapi, betulkah mereka adalah saudara? Jika ya, mengapa Baihaqi seolah-olah dingin sahaja terhadapnya? Mungkin mereka saudara yang tidak rapat kut, fikir Akiff. Tidak pula dia melontarkan persoalan yang bermain difikirannya ini kepada Baihaqi.


"Tak ada apa-apa... " Pantas Akiff menidakkan pertanyaan Baihaqi tadi. "... Aku cuma mahu mandi dan ingin bersolat subuh sekejap lagi. Dekat mana aku boleh mandi?" sambung Akiff lagi sambil memandang ke arah pakaiannya yang serba kotor dan comot. 



Terdapat beberapa tompok-tompok darah yang sudah kering masih melekat di bajunya. Dan badannya juga sudah berbau hapak. Dia tidak tahan dengan keadaan dirinya yang begitu. Sungguh dia tidak sesuai untuk melaksanakan ibadah solat dalam keadaan begitu. Betapa dia ingin menunaikan fardhu ain itu dan melaksanakan tanggungjawabnya kepada Allah SWT yang sudah lama tertangguh. Betapa dia rindu untuk bersujud dan berbicara denganNya. 


"Hmmm.. mandi? Ada sebatang sungai di hujung sana. Kau boleh mandi di situ. Situ agak selamat  dan paling dekat dengan sini. Kalau ada apa-apa yang pelik jangan tegur. Just mandi aje dan selesaikan urusan kau," jawab Baihaqi serius, sambil sempat mengingatkan Akiff.


Akiff sekadar menganguk tanda akur. Perlahan-lahan dia mula mengatur langkah ke arah sungai yang dimaksudkan. Meskipun badannya masih terasa sengal-sengal dan kebas-kebas, dia terus menguatkan diri. Lantas dia  melalui kawasan-kawasan hutan berlukar yang penuh dengan keunikan dan keindahan ciptaan Allah. 



Pokok-pokok yang unik pelbagai jenis dan bentuk semuanya memukau pandangan. Ada yang besar, ada yang kecil dan ada juga yang sederhana. Dari pokok menjalar, periuk kera yang melambai-lambai, rafflesia, cendawan-cendawan yang tumbuh melata dengan pelbagai bentuk dan berwarna-warni serta banyak lagi. Semuanya kelihatan cantik dan indah sekali! Pandangan matanya bagai terpukau buat seketika. Namun kakinya terus melangkah perlahan menyelusuri jalan itu dan ke arah sungai. Dari jauh sudah kedengaran bunyi air terjun yang mencurah-curah dari arah sungai yang dimaksudkan.


"SubhanAllah," Dia sempat bertasbih memuji kebesaranNya.


Saat dia hampir tiba ke arah sungai yang dimaksudkan, matanya bagai terpukau seketika melihat keindahan lampu kelip-kelip yang tiba-tiba menerangi kawasan itu. Dia terpana seketika bagai tidak percaya. Namun, cepat-cepat Akiff beristighfar. Dia harus fokus agar dapat melaksanakan ibadahnya dengan sempurna agar tidak terlepas waktu subuh. 


Akiff menanggalkan pakaian kotor yang tersarung ditubuhnya. Sempat dia membelek-belek badannya yang penuh dengan kesan parut, kesan terbakar, luka-luka kecil dan sebagainya. Perasaan ngilu dan seriau seolah-olah meresap ke dalam dirinya. Dia tidak pasti apa yang telah dilaluinya sehingga parut yang tinggal kelihatan begitu dasyat sekali. Mungkinkah itu puncanya dia kehilangan ingatannya? Mungkinkah apa yang dikatakan Wak Asan itu sama sekali benar. Kerana dia telah diseksa? Tapi, seksaan yang bagaimana? Persoalan itu dibiarkan tergantung sahaja di fikirannya.  Lantas Akiff segera membersihkan dirinya dan bersiap-siap untuk menunaikan solat subuh. Pertama kali bersujud kepada Allah setelah lama kehilangan dirinya, dia berasa begitu tenang sekali. Akiff bertafakur seketika. Bagai ada sesuatu kekuatan meresap ke dalam dirinya. Sesekali kedengaran bunyi kicauan burung dan cengkerik yang menghiasi alam. Namun, disebalik bunyi-bunyi ungas yang berkeliaran, Akiff tiba-tiba bagai terdengar satu bunyi yang begitu asing. Asing sekali.  Fokusnya terganggu.



Bunyi yang seakan bunyi tangisan. Tangisan? Betulkah apa yang aku dengari ini? Di hutan ini? Tetapi dari siapa? Soalnya sendiri. Mustahil adanya orang lain selain mereka bertiga di situ. Bak kata Wak Asan tempat itu begitu asing sekali dengan manusia. Atau mungkinkah memang adanya orang lain selain mereka tanpa disedari? Atau ada seseorang yang memerlukan bantuan mereka? Perasaan bertanggungjawab menguasai dirinya. Mustahil dia akan membiarkan seseorang yang perlukan bantuan terkontang-kanting tanpa bantuan. 


Tangisan itu kedengaran semakin kuat. Kuat dan jelas. Seperti tangisan seorang wanita. Ya, tangisan seorang wanita. Perlahan-lahan Akiff mula mengatur langkah. Mencari-cari dari mana datangnya arah suara itu. Suara tangisan yang kedengaran mendayu-dayu dan pilu sekali. Siapa wanita itu? Dimanakah dia? Perasaan ingin tahunya mengatasi segalanya.



bersambung...






Comments

Popular posts from this blog

Tanda-tanda Seseorang Mungkin Meminati Anda Di dalam Diam

Cara Mudah Tukar Duit Syiling Di Lokasi Mesin Deposit Syiling Bank Seluruh Malaysia

Tutorial Lengkap Cara Renew Roadtax Kereta Anda