Novelet: Дүниежүзілік соғыс V : Prolog II

 Assalamualaikum & Hi Semua!



Without a soul my spirit's sleeping somewhere cold
Until you find it there, and lead it, back, home
-Evanescence





Sambungan dari Prolog I

Prolog II



    "Kanda, bangunlah kanda...." Sayup-sayup kedengaran suara itu berbisik lembut di telinganya. Namun, matanya terasa sungguh berat. Berat sekali sehingga dia hanya mahu berehat dan tidur sahaja.

    "Kanda....bangunlah....." Suara itu kedengaran lagi, nafasnya terasa berhembus lembut di telinganya, seakan-akan memaksa dia untuk membuka matanya. 

Perlahan-lahan Akiff membuka matanya. Namun, pandangannya terasa terik dan sungguh terang sehingga menyilaukan pandangan mata. Dia pandang ke sekeliling. Saat itu dia kehairanan. Bagaimana dia boleh berada di sebuah mahligai yang indah ini? Di atas sebuah  katil empuk dan bilik yang kelihatan mewah umpama di sebuah istana. Dimanakah dia sebenarnya? Dan ketika itu, seraut wajah indah seorang wanita jelita umpama bidadari terpampang di ruangan matanya. 

Jelingan matanya yang tajam dan menggoda, kulitnya yang putih mulus serta bibirnya yang merah merekah bak delima sedang asyik tersenyum sambil memandang Akiff. Tetapi , siapakah dia? Akiff keliru. Wanita yang berpakaian serba putih dan berkalung bunga bak bidadari itu tidak pernah ada di dalam ingatannya. 

    "Siapa kau?" Soal Akiff perlahan.

    "Kanda... Dinda lah isteri kanda..." Jawab si gadis lembut berserta senyumannya yang menawan.

    "... Kanda dah lupa ke?" sambungnya lagi.



Namun, Akiff pasti gadis itu bukan isterinya. Isteri dan anaknya... Akiff masih ingat lagi rupa  isterinya, cantik. Tetapi, cantiknya isterinya sama sekali tidak seperti itu. Mustahil itu isterinya. Mustahil isterinya akan berubah rupa sebegitu sekali.

    "Kanda..." Panggil gadis itu lagi, seolah-olah sayu apabila Akiff seolah-olah tidak mengenalinya.

    "Dinda rindu sangat pada kanda," sambung gadis itu lagi apabila dilihatnya Akiff seolah-olah keliru dan tidak menghiraukannya. Perlahan-lahan dia mula mengelus-ngelus lembut wajah Akiff dengan jari jemarinya yang runcing dan kelihatan mulus sekali. 

    "Jangan sentuh aku!" marah Akiff tidak senang dengan situ asi itu sambil menolak tangan gadis itu dari cuba menyentuhnya. 

    "Kanda...," gadis itu mula teresak-esak menangis.

    "Kau siapa? Aku tak kenal kau!" marah Akiff lagi.

    "Sampainya hati kanda melayan dinda begini. Sedangkan kita kan sudah lama tidak berjumpa? Kanda sudah lupa ke yang dinda ni isteri kanda? Dan kita telah pun berkahwin sebelum ini?" kata gadis itu lagi sayu sambil teresak-esak menangis. Wajahnya masih kelihatan cantik dan ayu meskipun sedang bersedih. 

    "Dinda pasti, peristiwa yang berlaku itu membuatkan kanda telah hilang ingatan." sambung gadis itu lagi kesedihan. Dia menundukkan wajah sambil menahan sebaknya. 

Akiff pasti yang itu bukan isterinya. Mustahil dia tersilap. Bagaimana pula gadis itu boleh mendakwa dirinya adalah isteri Akiff? Dia keliru bagaimana dia boleh berada di situ dan bagaimana pula seorang gadis yang begitu cantik menawan tiba-tiba mendakwa dia adalah isteri Akiff? Padahal wajahnya begitu asing pada Akiff. Apakah benar aku telah hilang ingatan? Akff keliru lagi.

    'Arghh tidakk! Mustahil! Rupa isteri aku kan lain, tak seperti itu?!' bisik Akiff dalam hati. Namun, entah mengapa perlahan-lahan dia mula membuka pintu hatinya untuk memandang ke arah gadis cantik itu. Dia seoalah-olah mahu memastikan andai gadis itu benar-benar isterinya seperti yang didakwa. 

    Perlahan-lahan dia mula menyentuh seraut wajah ayu yang kelihatan sedih itu. 

    " Kanda sudah ingat ke?" Soal gadis itu sambil mengangkat muka. Tanganya mula menyentuh tangan Akiff. Terasa sejuk. Akiff menggeleng, dia seolah-olah keliru. Dia pasti gadis itu bukan isterinya. Bukan isterinya? Tetapi, tiba-tiba entah mengapa dia seolah-olah melihat wajah isterinya di situ, disebalik wajah itu. Terselindung disebalik pakaiannya yang berbeza dan tidak seperti sebelum ini. Mungkinkah kerana kalung bunga itu? Kerana pakaiannya yang serba indah? Rambutnya yang panjang melepasi bahu membuatkan penampilan isterinya kelihatan begitu berbeza sekali?

    " Sayang!" Panggilan itu terluncur laju dari mulut Akiff tiba-tiba. Dia menatap erat wajah gadis itu seolah-olah cuba memastikan yang itu benar-benar isterinya. Dan tangan Akiff semakin digenggam erat. Pandangan mata gadis itu semakin galak memandangnya, tajam dan penuh makna. Dia mula merapatkan dirinya dengan Akiff bersama senyuman indahnya yang menggoda.

    "Kanda..," Panggil gadis itu lagi, seolah-olah menyahut panggilan Akiff. Eh, kejap. Kanda dinda? Setahu Akiff dia memanggil isterinya sayang!

Tiba-tiba bunyi satu letupan yang kuat dan membingitkan telinga memenuhi kawasan itu bersama cahaya yang datang entah dari mana. Akiff memejamkan matanya rapat-rapat. Semuanya terasa silau tiba-tiba dan perlahan-lahan keadaan silau itu bertukar menjadi gelap. Semakin gelap. 


   "Rubah tak guna! Nyah kau dari sini!!" Kedengaran bingit suara Wak Asan selepas menembak rubah yang dimaksudkan. Mencicit sang rubah melarikan diri masuk ke dalam hutan.

Suasana di dalam istana tadi terus berubah menjadi sebuah hutan yang gelap gelita yang diiringi dengan bunyi ungas dan burung hantu yang sesekali kedengaran. Tiba-tiba Akiff merasakan jantungnya seolah-olah berdegup laju dan kencang. Badannya terasa sangat lemah dan fikirannya terasa bagai nak gila dengan apa yang baru sahaja terjadi sebentar tadi. 

     "Kenapa ni Wak? Kenapa?" Kedengaran satu lagi suara parau gegas menyahut, cemas. Suara itu bagai pernah Akiff dengari sebelum ini. Ya, lelaki itu. Lelaki yang ditemuinya sebelum ini, di dalam kereta kuda. Lelaki yang berupaya cuba melindungi dirinya dari busur panah yang datang entah dari mana. 

    "Rubah jadian ni nak isap darah budak ni! Pantang ada yang lemah sikit, mula lah depa dekat!" jawab Wak Asan kedengaran marah sekali.

    "Owh...biasalah tu, hutan kan." selamba lelaki itu membalas.

    " Kau pergi mana tadi Baihaqi? Boleh kau tinggalkan budak ni sorang-sorang? Kalau apa-apa jadi kat dia macam mana?" marah Wak Asan.

    "Hehe. Nak cari kayu api Wak, " balas Baihaqi sambil tersengih-sengih. 

    Wak? Baihaqi? Siapa sebenarnya mereka ni? Apa yang mereka nak dengan aku? Kenapa mereka tolong aki? Rubah? Isap darah? Isteri? Isteri aku mana? Anak aku? Apa jadi kat aku tadi? Aku kat mana sebenarnya ni? Ya Allah tolonglah aku... bisik Akiff dalam hati. Pelbagai persoalan berlegar di dalam fikirannya. Namun, saat itu dia langsung tidak berdaya untuk berkata-kata. Tangannya terasa lemah. Jari-jemarinya terasa menggeletar. Dia masih ingat lagi sentuhan gadis yang dikatakan rubah jadian itu. Terasa sejuk mencengkam hingga ke tulang dan hingga ke dadanya. Dan dia masih ingat lagi bagaimana makhluk berekor putih itu mencicit lari ke hutan. Bagaimana makhluk sebegitu rupa boleh berubah menjadi seorang wanita cantik? Rupa sebenar makhluk itu sudah cukup untuk membuatkan bulu romanya berdiri. 

    " Akiff...," tiba-tiba lelaki yang dipanggil Wak itu mula mendekati dirinya. 
    
    "Jangan takut nak..Minum air ni dulu." sambung Wak Asan lagi. Sambil menyuapkan Akiff dengan sebotol air. Perlahan-lahan Akiff menyedut dan tiba-tiba semakin rakus dia menyedutnya dan merampas botol itu. Tekaknya yang kering dan kehausan sebentar tadi mula terasa lega.

    " Terangkan pada aku apa yang terjadi..." kata Akiff perlahan, tegas seolah-olah satu arahan.



bersambung.....

1 Comentarios